ANIH Berhad menjangkakan 60,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), manakala 60,000 lagi di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) bermula hari ini hingga Isnin sempena cuti umum Hari Wesak.
Pengurus Besar Kanannya, Radzimah Mohd Radzi berkata, kemeriahan sambutan musim perayaan masih terasa di lebuh raya berdasarkan keadaan lalu lintas di kedua-dua lebuh raya berkenaan.
Menurutnya, kebanyakan pengguna kini dilihat mengambil peluang cuti hujung minggu yang panjang berikutan Hari Wesak.
“Oleh itu pihak ANIH Berhad ingin mengingatkan pengguna untuk tetap memandu secara berhemah, cermat dan bersabar demi keselesaan dan keselamatan semua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bagi pengguna lebuh raya yang bakal memulakan perjalanan esok mereka dicadangkan memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi bagi memastikan perjalanan lebih selesa.
“ini disebabkan keadaan trafik di KLK sentiasa menunjukkan peningkatan setiap hujung minggu sejak negara beralih ke fasa endemik.
“Pengguna juga dinasihat memastikan baki e-wallet, Touch n’Go dan SmartTag mereka mencukupi dan tetap mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), terutama apabila mengunjungi rumah terbuka sepanjang musim perayaan ini,” katanya.
Beliau berkata, ANIH Berhad sentiasa dalam keadaan bersedia untuk memastikan kelancaran dan keselesaan semua sepanjang musim perayaan ini.
“Untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik, @LPTTrafik dan Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur.
“Pengguna juga boleh menghubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1-700-818-700,” katanya. – Malaysiapost

