YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga lima penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam nahas di Kilometer 245.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, tengah malam kelmarin.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, memaklumkan Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa dukacita dengan berita pemergian kelima-lima mangsa.
“Seri Paduka Baginda rasa dukacita dengan berita pemergian Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, ke Rahmatullah berikutan nahas tersebut.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham-Allahyarham terbabit sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini,” katanya.
Menurutnya, Seri Paduka Baginda juga mendoakan agar roh-roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang yang beriman dan beramal soleh.
Beliau berkata, mengambil iktibar daripada kejadian nahas terbabit, Seri Paduka Baginda menyeru rakyat supaya memastikan kesiapsiagaan kenderaan serta sentiasa peka dan waspada di jalan dan lebuh raya, khususnya di musim perayaan.
“Seri Paduka Baginda menyeru supaya kemalangan yang meragut nyawa seperti ini sewajarnya dijadikan peringatan kepada semua pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang dan tidak cuai demi keselamatan orang lain.
“Seri Paduka Baginda turut menasihati pihak berkuasa dan pihak syarikat memperketatkan proses pemantauan dan pengambilan pemandu komersil bagi memastikan mereka tidak bermasalah dan penyelenggaraan kenderaan sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya. – Malaysiapost

