Anwar berjaya patahkan hujah Najib dengan cekap – Loke

0
2

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke berkata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat dengan lebih baik dan berjaya mematahkan hujah Datuk Seri Najib Razak dengan cekap pada sesi debat malam tadi.

Beliau berkata, Najib selaku bekas Perdana Menteri dalam sesi itu berusaha menyakinkan orang ramai bahawa syarikat Sapura Energy perlu diselamatkan kerana dilihat sebagai syarikat strategik dan melibatkan kepentingan banyak pihak.

“DSAI (Anwar) pula menegaskan perlunya akuantabiliti dan kebertanggungjawaban pihak pengurusan korporat terhadap kegagalan mereka dan kerajaan tidak seharusnya “bailout” mana-mana syarikat dengan sewenang-wenangnya.

“Apabila DSNR menggunakan analogi “memperbesarkan kek ekonomi” sebagai mantra pengurusan ekonominya, DSAI dengan petah menjawab “jangan makan kek seorang” dan mempersoalkan siapa yang dapat bahagian kek yang lebih besar.

“Bagi saya, hujahan balas ini merupakan “highlight” dalam debat malam ini,” katanya dalam hantaran Facebook.

Loke berkata, apa yang melucukan apabila Najib menyatakan bersetuju dengan agenda Anwar melawan rasuah dan mana-mana kes penyalahgunaan kuasa mesti diambil tindakan.

“Bukankah subjek rasuah terbesar dan penyalahgunaan kuasa yang luar biasa merujuk kepada dirinya sendiri? Maksudnya Najib bersetuju dengan Anwar bahawa Najib perlu diambil tindakan,” soalnya.

Menurutnya, apabila Najib mengaju soalan kepada Anwar berkenaan pendirian beliau terhadap isu penutupan siasatan terhadap skandal Forex melibatkan kerugian RM30 billion, Ketua Pembangkang itu dengan tegas mencabar agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuka dan menyiasat semula kes tersebut yang melibatkan golongan elit politik.

“Saya rasa ramai yang duduk di sebelah blok pasukan Najib menggigil.

“Kesimpulannya, saya rasa DSAI telah menampilkan kebolehan dan keyakinan di pentas debat. Budaya debat ini memang merupakan satu usaha yang baik dan harus digalakkan di kalangan pemimpin politik.

“Saya berharap plafform debat langsung seperti malam ini akan diperbanyakkan terutama semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang,” katanya.

Debat antara dua figura penting dalam arena politik negara yang diadakan di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur, semalam  disiarkan secara langsung  menerusi pelbagai platform.

Sesi debat tersebut menyentuh dua isu iaitu sama ada kerajaan patut membantu Sapura Energy Berhad yang berdepan masalah dan kedua berkenaan hala tuju dan masa depan ekonomi dan politik negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here