Jasa, pengorbanan jururawat sangat besar buat Keluarga Malaysia – PM

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jasa dan pengorbanan jururawat sangat besar kepada Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, jururawat menaruhkan segalanya bukan hanya kudrat untuk menjamin kesihatan dan nyawa rakyat di negara ini.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua jururawat di negara ini.

“Syabas dan terima kasih kepada para jururawat atas perkhidmatan kesihatan dan jasa kepada masyarakat. Anda semua adalah wira dan wirawati kami,” katanya dalam ciapan Twitter sempena Hari Jururawat Sedunia, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin berkata, jasa dan pengorbanan jururawat sebagai sebahagian daripada petugas barisan hadapan terutama ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 terlalu besar.

“Seluruh rakyat Malaysia terhutang budi dengan khidmat bakti yang telah diberikan tanpa mengira masa dan mengharap balasan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyifatkan peranan dan pengorbanan jururawat dalam memastikan perkhidmatan kesihatan berjalan lancar wajib dipuji dan dihargai.

“Kejururawatan adalah kerjaya murni, untuk mereka yang berani dan memiliki sifat belas kasihan.

“Jururawat bekerja tanpa lelah bagi memberi khidmat dan sokongan kepada pesakit.

“Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat di Malaysia. Teruskan berkhidmat degan penuh dedikasi dan keikhlasan,” katanya.

Hari Jururawat disambut di seluruh dunia pada 12 Mei setiap tahun bagi mengenang jasa golongan itu kepada masyarakat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here