MENELITI kewujudan jenama baja organik, Milagro yang dipasarkan syarikat HMJ Biz Point Sdn Bhd sejak Oktober 2017, didorong oleh niat mahu melihat orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengasasnya, Mat Jantan mahu mendidik pengguna dan ejennya untuk hidup secara ‘organik’ tanpa bergantung kepada baham kimia.
Baja organik dikeluarkan syarikatnya dihasilkan daripada bahan asli tanpa campuran bahan kimia seperti pereputan sisa pertanian yang mudah terurai contohnya sisa tanaman dan sisa haiwan menjadi pilihannya.
“Maksud Milagro sendiri yang diambil daripada bahasa Sepanyol memberi erti keajaiban yang menterjemahkan rasa mahu memberi kebahagiaan semua manusia sejagat.
“Cuma apabila menyebut hal organik ini, mentaliti dan tafsiran kita ia bersifat mahal. Benar, saya tak nafikan perkara itu. Baja organik saya jual sendiri sedikit mahal berbanding baja kimia. Tapi perniagaan saya ini bukan atas kapasiti nak untung semata-mata.
“Tapi nak mendidik kita semua supaya lebih menghargai nyawa dan kesihatan diri. Dengan bercucuk tanam sendiri menggunakan baja organik dapat berjimat berbanding membeli rangkaian produk seumpama itu di pasaran yang jelas agak mahal.
“Asbab usaha saya ini membolehkan ramai mendapat hasil tuaian bercucuk tanam yang sihat, selamat dan cepat. Penggunaan baja organik dalam kuantiti sikit pun menuai hasil yang berlipat ganda. Kesihatan juga bertambah baik. Itu antara yang diakui ejen dan pengguna baja keluaran syarikat saya,” katanya kepada Malaysiapost.
Tegas Mat lagi, potensi baja kimia sendiri boleh mendorong banyak kesan dan penyakit termasuk kanser.
“Sebab itu saya mahu lebih ramai lagi beralih ke baja organik. Awalnya usaha mendidik dan mendekati masyarakat untuk beralih ke baja organik bukan mudah terutama orang Melayu. Tapi kaum Cina sudah lama menyedari kepentingan baja organik.
“Baja organik yang dihasilkan terbukti berkesan untuk membantu kesuburan tanaman.
Ia mampu mengurangkan kadar masam dan asid tanah selain membantu mempercepat proses larut resap. Satu pek baja saya mampu mencerna 100 pasu tanaman.
“Ia juga dapat membantu memperbaiki pengudaraan dan resapan air untuk memastikan perkembangan akar pokok yang lebih sihat. Sangkaan segelintir petani bahawa baja kimia dan racun serangga mampu meningkatkan hasil adalah silap kerana penggunaan bahan itu boleh membunuh serangga baik yang membantu proses pendebungaan tanaman,” katanya lagi.
Selain baja organik Milagro, jenama itu turut mengeluarkan NPV atau vaksin tanaman semulajadi yang bertindak sebagai penggalak imuniti dan penghalang serangga, Matado.
Baja organik premium dijual pada harga RM30, NPV (RM25) dan Matado (RM30).
“Sehingga kini kita mempunyai 11,000 ejen di seluruh Malaysia. Malah kita juga mahu sasarkan 3,000 mini nurseri atau semaian tanaman diusahakan ejen. Ejen kita pun ada yang di kalangan pekerja profesional dan lanjut usia dengan status pencen.
“Awal dulu, kita hasilkan 30 tan baja organik sebulan. Tapi kini 300 tan sebulan. Jualan produk pada tahun 2021 juga mencecah RM14 juta,” katanya.- Malaysiapost

