Anwar cadang kerajaan lakukan audit forensik isu Sapura

0
3

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan kepada kerajaan supaya menjalankan audit forensik terhadap syarikat Sapura Energy Bhd (Sapura Energy) yang sedang mengharungi tempoh getir susulan kemelut hutang.

Menurutnya langkah bagi mengambil tindakan terhadap individu yang menyebabkan masalah dalam syarikat itu.

Beliau berkata, tekad politik juga perlu sebagai pendorong kepada usaha untuk membetulkan sistem yang terpalit dengan rasuah, penyelewengan atau memiliki urus tadbir lemah dalam sesebuah syarikat.

“Tetapi soalnya bukan soal bantu atau ‘bail out’. Soalnya sebelum kita mencampuri dalam urusan ini (Sapura Energy) mesti ada audit forensik.

“Ini kerana bila timbul masalah (syarikat) Perwaja dahulu bila saya diarahkan untuk membawa Perwaja, setelah jadi kelam kabut di bawah Tan Eric Chia… apa yang saya lakukan ialah saya minta PriceWaterhouse atau sekarang PwC menggunakan seluruh kuasa melakukan audit forensik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Debat Perdana bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disiarkan secara langsung dari Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) malam ini.

Anwar berkata, tindakan kerajaan menyuntik bantuan kepada syarikat bermasalah bukan cara terbaik menyelesaikan apa yang berlaku.

“Bila ada masalah hempap kepada kerajaan selesai isu (hutang) ini bukan cara urus syarikat di negara kita,” katanya.

Beliau bimbang langkah terus memberi suntikan kepada syarikat bermasalah lebih menjurus kepada mahu menjaga kepentingan beberapa ahli politik dan golongan tertentu, berbanding rakyat.

“Kita mesti mula dengan audit, bagaimana perjanjian dibuat, arahan mana, kalau tak kita buat audit semuanya dalam keadaan yang bagus.

“MAS sudah kita lihat, Perwaja Steel dan banyak lagi masalah lain tapi tidak ada pengajaran kepada kita (kerajaan),” katanya.

Anwar turut menasihatkan satu siasatan lengkap dan rapi dilakukan oleh kerajaan supaya perkara sama tidak berulang kepada syarikat milik kerajaan lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here