AHLI PAS dan Umno perlu mengentikan tindakan berbalas serangan di media, sebaliknya mencari jalan bertemu bagi berbincang hati ke hati serta mengakui kesilapan masing-masing.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan, berkata pendekatan itu perlu diambil bagi mencari solusi sementelah Umno dan PAS mewakili kumpulan umat Islam terbesar di negara ini.
“Demi masa depan umat Islam di bumi bertuah ini, Umno dan PAS tidak boleh dibiarkan terus bergulat. Perbalahan ini tiada faedahnya malah merugikan umat Islam sendiri.
“Kalah dalam perbalahan ini menjadi abu dan kalaupun menang hanya menjadi arang. Tiada untungnya kecuali musuh-musuh Islam akan bergembira dan mengaut laba dari pertelagahan umat Islam,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Nasrudin berkata, Umno dan PAS dahulu pernah lebih 50 tahun bersengketa dan umat Islam hidup dalam kebencian dan dendam sesama sendiri dalam tempoh itu.
Bagaimanapun, katanya pada September 2019 menjadi detik bersejarah apabila dua parti politik besar itu bekerjasama dalam satu gagasan membentuk Muafakat Nasional (MN).
“Bukan seratus atau seribu, bahkan berjuta umat Islam melafaz syukur dengan jujuran air mata menyaksikan kedua-dua pihak yang mempunyai sejarah persengketaan yang sengit dapat menandatangani piagam kerjasama.
“Namun permuafakatan ini diuji dengan begitu dahsyat. Perkara ini sememangnya telah dijangka awal kerana memahami tabiat musuh Islam yang tidak akan tinggal diam untuk membiarkan umat Islam bersatu dan membina kekuatan.
“Tentu sahaja mereka akan berhempas pulas merencana pelbagai perancangan dari luar dan dalam untuk memastikan Muafakat Nasional ini berakhir,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor menyaksikan pertembungan Umno dan PAS menjadikan penyatuan dua parti itu semakin rumit.
Menurutnya, Umno dan PAS jangan berputus asa dan terus berusaha menyatukan dua parti itu dalam MN yang mewakili umat Islam.
Ujarnya, dua parti itu perlu memainakan peranan untuk menggagalkan usaha musuh yang mahu umat Islam berpecah belah.
“Membiarkan pertelagahan terus berlaku bermaksud kita mengundur kebelakang. Mengulangi derita silam. Mencetak keputusan yang serupa. Mengheret umat Islam dalam kancah kebencian yang sama sebagaimana yang dialami lebih 50 tahun yang lalu.
“Saya yakin dan percaya, pemimpin dari kedua-dua parti ini sangat memahami perkara yang saya bangkitkan ini.
“Cuma apa yang perlu dilakukan sekarang ialah jangan berputus asa untuk terus mengusahakan perpaduan umat Islam ini dengan ikhlas dan jujur. Bukan bertujuan untuk memerangkap dan memangsakan antara satu sama lain,” katanya. – Malaysiapost

