Segera laksana Dana Penstabilan Harga – Guan Eng

0
1

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa kerajaan segera mewujudkan Dana Penstabilan Harga bagi mengawal kenaikan harga barang yang diramal berlaku selepas sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata, tindakan segera perlu dilaksanakan kerana harga makanan, pakaian dan barang keperluan dijangka akan naik 10 hingga 15 peratus.

“Golongan peniaga dan pengilang menjangkakan harga makanan, pakaian dan barang keperluan akan naik 10 hingga 15% selepas sambutan Aidilfitri.

“Kerajaan Pusat tidak boleh berlengah lagi mewujudkan Dana Penstabilan Harga bagi mengawal kenaikan harga barang,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, menyedari beban kenaikan harga barang kepada rakyat, pihaknya memberi sumbangan wang tunai kepada mereka yang memerlukan.

“Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan meneruskan bantuan wang tunai terus kepada keluarga yang memerlukan.

“Saya menyampaikan bantuan kewangan RM100 kepada 102 warga B40 di bawah MPKK Kampung Simpah bertempat di tapak rumah berhala Simpah Tou Mu Kong,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng pernah membuat gesaan sama mendesak kerajaan mewujudkan Dana Penstabilan Harga bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau juga menyelar tindak balas lemah kerajaan yang masih mengkaji cadangan Dana Penstabilan Harga walaupun isu peningkatan harga barang telah berlaku sejak sekian lama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here