JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) mengesan satu taktik baharu penipuan atas talian membabitkan penjualan ticket penerbangan yang setakat ini telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM233,954.
Pengarah JSJK Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata berdasarkan siasatan, mangsa melayari laman http://cafe.naver.com/mymalaysia yang dalamnya terdapat iklan penjualan ticket penerbangan yang didakwa dikendalikan syarikat Aspan Travel and Tour Sdn Bhd.
“Mangsa membeli tiket penerbangan yang diiklankan kerana tertarik dengan tawaran harga yang lebih murah berbanding harga pasaran. Setelah pembayaran dibuat mangsa gagal memperolehi tiket yang dibeli.
“Setakat ini polis telah menerima sebanyak 20 laporan membabitkan kerugian RM233,954 dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sebagai langkah pencegahan orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati dengan sentiasa berwaspada apabila membuat sebarang transaksi atas talian kepada dengan individu tidak dikenali di laman sosial yang menawarkan pelbagai tawaran harga lebih rendah dari pasaran.
“Elakkan membuat pembayaran ke dalam akaun bank atas nama individu yang berlainan daripada nama penjual serta semak akaun bank atau nombor telefon melalui laman sesawang http://CCID.rmp.gov.my/semakmule/.
“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya. – Malaysiapost

