PRESIDEN PKR tampil menjawab persoalan berhubung penerimaan pelawaan debat bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang akan disiarkan secara langsung, esok.
Ketua pembangkang itu berkata sudah sekian lama beliau meminta berdebat dengan Najib ketika Ahli Parlimen Pekan itu berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.
“Tahun 2008 diwakilkan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek debat sebab harga minyak. Sekarang kalau saya tolak kata saya pengecut.
“Saya terima dah kata mengangkat kedudukan Najib. Jadi apa yang harus saya lakukan? Dengar debat esok..,” katanya dalam hantaran video di Instagram.
Debat antara dua figura penting dalam arena politik negara itu akan diadakan di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur.
Debat itu akan diadakan pada jam 9 malam esok dan disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial.
Ini kali pertama Anwar dan Najib bersemuka dalam debat terbuka.
Sesi debat tersebut dijangka menyentuh dua isu iaitu sama ada kerajaan patut membantu Sapura Energy Berhad yang berdepan masalah dan kedua berkenaan hala tuju dan masa depan ekonomi dan politik negara. – Malaysiapost

