Hubungan PAS, Umno: ‘Buanglah yang keruh, ambil yang jernih’ – Khairuddin

0
1

PERPADUAN ummah antara Umno dan PAS tidak sewajarnya menjadi goyah hanya disebabkan kehadiran Bersatu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata menjadi harapan rakyat Malaysia melihat Umno dan PAS duduk bersama demi penyatuan umat Islam.

“Dua parti PAS dan Umno adalah harapan rakyat Malaysia dengan melihat kepada bilangan ahli dalam kedua-dua parti iaitu 3.2 juta dalam Umno dan 800,000 dalam PAS.

“Tidak sewajarnya perpaduan dua parti ini menjadi goyah dengan kehadiran Bersatu yang kecil bilangannya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS itu berkata, untuk tujuan itu mesyuarat induk Muafakat Nasional (MN) wajar dihidupkan semula dan pasukan perunding kerusi tidak wajar dihentikan sekerat jalan.

“PAS perlu memperakui bahawa Umno beberapa kali memohon diteruskan rundingan kerusi tetapi PAS yang tidak melayan dan mengabaikan permohonan tersebut. Kesilapan ini perlu dibetulkan.

“Muafakat Nasional ada jalannya tetapi syaratnya hendaklah menjadi keputusan bersama dan rasmi oleh kedua-dua pimpinan parti,” katanya.

Beliau berkata, adalah tidak wajar sekiranya MN dibina kembali dengan mengenepikan pimpinan utama kedua-dua parti.

Jelasnya, keadaan itu ibarat hanya ‘inginkan’ badan tanpa kepala, dan perkara tersebut yang menjadi kesilapan dalam pengurusan MN sebelum ini.

“Ada pihak yang mahukan ‘badan’ sahaja tanpa ‘kepalanya’. Satu lagi syarat penting dalam perundingan ialah usah dicampuri urusan dalaman setiap parti.

“Biarkan masing-masing menguruskan parti mereka sendiri. Jangan diulangi kesilapan tahun 1978 apabila ada parti mencampuri urusan pemilihan parti yang menjadi rakan kerjasama.

“Sehingga akhirnya terburai ikatan kerjasama. Sejarah pahit tidak wajar diulangi,” katanya.

Khairuddin yang juga bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkata, beliau istiqomah dengan perjuangan untuk melihat kedua-dua parti itu terus duduk bersama.

Jelasnya, penyatuan kedua-dua parti itu penting selepas melihat sejarah pertembungan panjang dan pahit yang menjarakkan hubungan persaudaraan dan mengorbankan silaturrahim kekeluargaan umat Melayu Islam melebihi 40 tahun.

“Buang yang keruh dan ambil yang jernih demi perpaduan umat Islam. Saya Istiqomah dengan perjuangan untuk melihat kedua parti terus duduk bersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here