Pemberian lesen bank digital BNM: Preskripsi yang membimbangkan – MTEM

0
1
Bangunan Bank Negara Malaysia BNM

PENGUMUMAN terbaharu Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung pemberian lesen digital, bagaimanapun tidak membayangkan kefahaman serta kesungguhan kerajaan untuk menangani kemelut sosioekonomi negara yang semakin meruncing, kata Abdul Halim Husin.

Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) itu berkata, ia kerana kebimbangan tersebut ada asasnya memandangkan tidak nampak  perbezaan jelas antara pembida milik penuh tempatan dengan pembida asing.

“Iaitu tiga daripada mereka adalah syarikat asing atau antara pembida lesen digital bank konvensional dengan pembida lesen digital bank Islam walaupun mereka dinilai mengikut kriteria akta perkhidmatan kewangan yang berbeza. 

“Bahkan jika dipecah-pecahkan lebih 29 syarikat usahasama atau konsortium yang memohon kepada syarikat-syarikat individu, agaknya berapa pula bilangan atau peratusan syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera berbanding syarikat asing?  

“Justeru, MTEM berpandangan sudah tentulah hal yang sebegini fundamental akan mempengaruhi hasil yang diinginkan kerajaan dan BNM tidak seharusnya terlalu taksub menilai kelayakan dan kemampuan kewangan para pembida semata-mata, sehingga terlupa isu sebenar yang telah menghantui negara ini sekian lama melangkaui era kemelesetan ekonomi Pandemik Covid-19 lagi, iaitu untuk menangani ketidaksamaan dan memperbaiki status ekonomi termasuklah dikalangan golongan Melayu dan Bumiputera, baik isi rumah mahupun PMKS yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, keadaan di Malaysia masih belum berubah apabila pemberian lesen kepada konsortium bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan BNM atau kepada syarikat-syarikat gergasi asing nampaknya seperti mahu terus mengikut acuan bank-bank kapitalis.

“Atau cenderung untuk mengikut model bank digital negara-negara bertaraf ‘city-states’ seperti Hong Kong, Singapura dan Israel yang sudah tentu tidak sama dengan matlamat serta kehendak rakyat di negara ini,” katanya.

Pada masa yang sama, tambahnya, MTEM juga sememangnya bimbang dengan kadar keberhutangan individu dan negara yang terlalu tinggi.

Namun, katanya, lebih gusar melihat kecenderungan kerajaan untuk menggalakkan rakyat berhutang dan bukan sebaliknya. 

“Perbankan digital berpotensi mendedahkan kumpulan sasaran kepada kredit, dan jika mereka tidak mempunyai pengetahuan kewangan yang betul mereka akan terbeban dengan hutang tanpa ada jalan untuk membayar semula hutang-hutang tersebut. Perbankan digital mesti menyelesaiakan masalah bukan menambah,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menggesa kerajaan pimpinan Perdana Menteri untuk membuktikan ketegasan dalam melaksanakan Agenda Bumiputera yang diperakui perlembagaan negara sebagai agenda nasional. 

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sebagai dokumen utama yang perlu dirujuk sebelum memuktamadkan sebarang polisi dan dasar tanpa sebarang pengecualian termasuklah dalam pemberian lesen atau permit selagi mengikut syarat syarat yang ditetapkan. 

“Selain itu, kami juga ingin menyarankan agar BNM tidak terus menutup pintu dalam pemberian lesen perbankan digitalnya bagi melihat instrumen perkhidmatan kewangan yang lebih segar yang mampu menangani permasalahan sosioekonomi, dalam masa yang sama tidak mendedahkan negara dan rakyat kepada risiko kredit dan bebanan hutang melampau.

“Ini sebenarnya adalah peluang untuk Perbankan atau Pembiayaan Alternatif yang lebih mesra rakyat dalam bentuk digital,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here