POLIS Pulau Pinang menegaskan bahawa tiada arahan rasmi atau tidak rasmi yang telah dikeluarkan untuk penugasan mengiringi sebuah kenderaan oleh anggota polis trafik di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang seperti yang tular pada 7 Mei lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya memandang serius kesalahan melaksanakan tugas tanpa arahan rasmi itu sama ada daripada pegawai kanan atau penyelia tugasan.
“Pada 7 Mei lalu satu rakaman video yang tular, berdurasi 20 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun ‘anwarazeez’. Rakaman video itu memaparkan seorang memandu sebuah kenderaan diiringi oleh dua anggota polis trafik menggunakan motosikal milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Jalan Bukit Gambir, Pulau Pinang.
“Pihak PDRM Kontinjen Pulau Pinang menegaskan bahawa tiada arahan rasmi atau tidak rasmi, yang telah dikeluarkan oleh pucuk pimpinan PDRM diperingkat kontinjen Pulau Pinang untuk penugasan mengiringi subjek pada hari tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai video tular berhubung dakwaan polis trafik mengasari pesalah jalan raya di sekatan jalan raya (SJR)
“Satu rakaman video berdurasi 31 saat, dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Penang My Hometown’ yang tular semalam, memaparkan satu insiden dimana anggota polis trafik mengasari pesalah jalan raya.
“Kejadian itu disahkan berlaku semalam pada jam lebih kurang 1.15 pagi. Dalam kes ini, satu laporan polis oleh PDRM Pulau Pinang dibuat bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Pihak kami akan mengenalpasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Penang My Hometown. Selain itu, kita juga akan mengesan mangsa yang masih gagal tampil untuk membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut,” katanya.
BACA LAGI: RM622 juta diluluskan untuk tangani masalah air di Kelantan
Menurutnya, kertas siasatan untuk kedua-dua kes telah dibuka untuk siasatan lanjut dan kesemua anggota trafik yang terbabit telah dilucut sementara daripada menjalankan tugasan hakiki serta ditempatkan sementara di Bahagian Pentadbiran sehingga siasatan selesai.
“Polis Pulau Pinang sentiasa konsisten bahawa pucuk pimpinan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang melakukan salah laku yang bertentangan dengan undang-undang dan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
“Siasatan yang telus akan dijalankan dalam memberikan keadilan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya. – Malaysiapost

