DAP mengakui ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) yang bersorak pada malam 9 Mei 2018 susulan kejayaan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU), kini amat kecewa dan berasa putus harapan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata pihaknya tahu bahawa kekecewaan tersebut tidak mudah untuk diubati.
Namun, katanya, semua pihak tidak boleh berputus asa dalam perjuangan menegakkan keadilan dan membersihkan Malaysia dari rasuah.
“Kita juga tidak boleh tunduk dan mengalah kepada politik pengkhianatan melalui Langkah Sheraton dan membiarkan politikus yang tidak berprinsip untuk menguasai lanskap politik negara kita.
“Kita mesti bangkit untuk terus berjuang dan mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap misi perjuangan PH.
“Walau apa pun rintangan di depan kita, berputus asa dan menyerah kalah tidak boleh wujud dalam kamus perjuangan kita,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Loke berkata, walaupun banyak kekecewaan melanda PH dalam tempoh dua tahun lalu, namun sebagai pemimpin yang berasal dari Negeri Sembilan, beliau cukup bangga dengan ketahanan kerajaan PH negeri itu.
Menurutnya, Negeri Sembilan adalah satu-satunya negeri yang ditawan oleh PH pada PRU14 yang masih kekal bertahan sehingga hari ini.
“Pulau Pinang dan Selangor telah dimenangi sejak 2008 manakala Kedah, Perak, Melaka, Johor dan Sabah yang dimenangi pakatan pembangkang pada tahun 2018 pun ditumbangkan selepas Langkah Sheraton.
“Selepas Kerajaan PH tumbang di Putrajaya pada Februari 2020, memang terdapat usaha untuk menggugat kedudukan kerajaan PH Negeri Sembilan.
“PH hanya mempunyai majoriti empat kerusi di Dewan Undangan Negeri iaitu PH 20 kerusi dan BN 16 kerusi,” katanya.
Tambah bekas Menteri Pengangkutan itu, beliau berani menyatakan setiap daripada 20 Adun PH di Negeri Sembilan kekal berprinsip dan tidak mengkhianati mandat rakyat.
Katanya lagi, kerajaan PH Negeri Sembilan telah berusaha sedaya upaya mentadbir negeri penuh integriti dan memajukan Negeri Sembilan.
“Kita akan terus memberikan yang terbaik kepada rakyat dan berharap akan terus diberi mandat dalam PRU15.
“Saya berharap keutuhan PH Negeri Sembilan boleh dijadikan sebagai teladan untuk memberi keyakinan semula kepada penyokong PH di seluruh negara untuk menghadapi PRU15,” katanya. – Malaysiapost

