Juruterbang ‘nasi ganja’ didakwa hari ini

0
1

JURUTERBANG yang menerbangkan sebuah helikopter untuk mengambil pesanan ‘nasi ganja’ didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan tidak mematuhi pelan penerbangan.

Datuk Mohamed Raffe Chekku, 53, yang juga pengarah urusan sebuah syarikat bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Jessica Daimis, lapor Kosmo!.

Dia didakwa mengikut Seksyen 77 (2) Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 kerana melanggar kaedah-kaedah udara seperti ditentukan Ketua Pengarah Penerbangan Awam.

Ini kerana mengikut Direktif Penerbangan Awam 2, tertuduh telah melanggar pelan penerbangan apabila membuat pendaratan sebuah pesawat jenis Bell 505 nombor pendaftaran 9M RCI di lokasi selain aerodrom.

Mengikut kesalahan itu, dia didakwa di bawah peraturan tersebut dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) akta sama iaitu denda tidak melebihi RM50,000, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

BACA LAGI: Pesanan 36 bungkus nasi ganja ‘terbang’ ke KL guna helikopter

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jane Sharmila Jesudason manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala kes disebut semula pada 29 Jun depan.

Pada 23 Julai 2021, polis membuka kertas siasatan susulan helikopter mendarat di Padang Ipoh, semata-mata mengambil pesanan 36 bungkus ‘nasi ganja’, kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) larangan merentas daerah serta negeri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata siasatan terhadap individu serta syarikat pemilik helikopter terbabit dibuat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020 atau Akta 342. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here