PENCEMARAN Sungai Skudai membabitkan ketulan buih putih, yang tular sejak semalam tidak menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail di Johor Bahru.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven, berkata hasil pemantauan dan siasatan dilakukan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mendapati tiada lagi buih putih dikesan di lokasi aduan di Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas.
Katanya, pengurusan LRA Sultan Ismail yang turut berada di lokasi kejadian untuk tinjauan bersama beliau pada pagi tadi, memaklumkan pencemaran buih yang berlaku tidak menjejaskan operasi loji itu.
“Saya dan JAS Johor akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca pencemaran, terutama di premis beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang juga berpotensi menyebabkan pencemaran sungai sehingga berbuih.
“Persampelan kualiti air sungai di LRA Sultan Ismail mendapati tahap kualiti air adalah normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) 4.95 dan pH 7,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Raven turut meminta orang ramai untuk melaporkan kes pencemaran kepada JAS melalui talian bebas tol iaitu 1-800-88-2727 atau melalui eaduan di [email protected].
Semalam, tular video di media sosial memaparkan penemuan buih-buih putih di sekitar Jambatan Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas.
Bagaimanapun, JAS Johor dilaporkan mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu dan mendapati kualitinya berada pada tahap normal.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa, berkata tahap alkali (pH) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.
JAS Johor yang melakukan tinjauan di Sungai Skudai pagi tadi dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian di sungai itu berpunca daripada industri di kawasan sekitar. – Malaysiapost

