CALON Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru pemilihan parti itu berlangsung dalam semangat kekeluargaan dan harmoni.
Menurutnya, pemilihan PKR yang bakal berlangsung ini perlu mengelakkan perpecahan di kalangan ahli parti.
“Justeru itu, pemilihan Keadilan ini adalah pemilihan dengan semangat kekeluargaan dan secara tertib. Jangan sesekali menjejaskan Keadilan yang telah kita bina dengan jerih, perih, keringat dan air mata ini hanya kerana sengketa dan perselisihan,” katanya.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR berkata demikian dalam ucapan Majlis Sambutan Hari Raya dan bersempena pemilihan PKR di Keningau, hari ini.
Saifuddin juga menegaskan, pemimpin parti itu jangan sesekali memesongkan makna sebenar pemilihan.
“Pemilihan parti perlu diberi makna segar dan membangkitkan semangat anggota.
“Ini adalah proses bagi merangkul bakat untuk diangkat dalam saf kepimpinan yang kemudiannya bertanggungjawab menyatupadukan anggota, memperkukuh parti, menyemarakkan kejituan anggota, menggilap idealisma reformasi dalam diri setiap anggota serta merangkul dan mempersiap seluruh pendokong Keadilan untuk mendepani Pilihanraya Umum ke-15.
Saifuddin turut menjelaskan, dua teras yang menggerakkan perjuangan PKR ialah sifat inklusif iaitu merangkul semua elemen dalam parti dan sifat kepelbagaian yang menyentuh segenap segmen rakyat Malaysia.
“Istimewanya disini, Sabah menjadi tunjang yang memenuhi setiap teras yang telah pun berakar dalam Keadilan.
“Untuk itu, formula awal kemenangan menuntut Keadilan untuk menjadi kuat dan kekal ‘intact’ kerana hal gerak kerja pilihanraya melibatkan cara kerja berpasukan dan merupakan tanggungjawab setiap pimpinan serta anggota parti,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu akan ditentang bekas pakar strategik PKR, Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR. – Malaysiapost

