PAS perjuangkan penyatuan ummah, bukan penyatuan politik kepartian – Tuan Ibrahim

0
2
KUALA LUMPUR, 18 November 2020 - Timbalan Presiden Pas yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sesi wawancara bersama Mingguan Malaysia di Ibu Pejabat PAS, Jalab Raja Laut di sini hari ini. Gambar FAUZI BAHARUDIN Pemberita Fahmi

PAS kekal dengan prinsip bahawa penyatuan ummah adalah lebih besar daripada penyatuan politik kepartian atau kerjasama politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Perkara itu dijelaskan Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang berkata, parti itu melihat keperluan untuk penyatuan dalam kerangka yang ditandatangani menerusi piagam Muafakat Nasional (MN).

“Elok kalau dibaca dan dihayati semula apa yang telah disepakati, waktu itu PAS dan Umno merasai adanya ancaman kepada masa depan Melayu Islam dan kita berhimpun menentangnya,” katanya dipetik BH hari ini.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menegaskan, dalam konteks politik kepartian, setiap pihak boleh membuat apa yang difikir sesuai untuk partinya dan keadaan ini tentu berbeza antara satu kawasan, negeri berbanding lain.

“Selangor, Perak kelihatan berbeza dengan sikap Presiden Umno, bagaimana pula Pulau Pinang. Apakah sekadar menang sorak, kampung tergadai,” katanya.

Tuan Ibrahim menambah, PAS yakin setiap parti mempunyai hala tuju dan strategi masing-masing menjelang PRU akan datang

“Pelbagai andaian juga akan muncul. Kita masih terbuka untuk melihat perkara ini dengan lebih serius.

“Buat masa ini PAS sebahagian komponen Perikatan Nasional (PN) dan akan meneruskan agenda menggesa penyatuan ummah diteruskan.

“Kami yakin cabaran Barisan Nasional ialah PN berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang memberi menyifatkan mustahil untuk gagasan MN diteruskan jika PAS terus memperlihatkan sikap ‘talam dua muka’.

Zahid menegaskan, Umno mahu rakan yang setia dalam MN bukan sahaja berdasarkan daripada kenyataan-kenyataan dikeluarkan tetapi menerusi tindakan dan keputusan yang dibuat oleh parti terbabit. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here