INDIVIDU tertua di Langkawi telah menghembuskan nafas terakhir hari ini.
Berita sedih itu dikongsikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi Facebook rasminya yang berkata individu yang dikenali sebagai Sapora Amin, 106, meninggal dunia ketika umat Islam meraikan 6 Syawal, hari ini.
“Saya mendapat berita sedih sebentar tadi bahawa Allahyarhamah Sapora Amin atau lebih dikenali sebagai Tok Pura, telah kembali kerahmatullah,” kongsinya.
Dr Mahathir, 97, yang juga Ahli Parlimen Langkawi turut mengucapkan salam takziah kepada waris keluarga Sapora.
“Saya dan Hasmah ucap takziah kepada keluarga Allahyarhamah Tok Pura.
“Kali akhir kami bertemu dengan Tok Pura ialah semasa Program Outreach Imunisasi Covid-19 di Pulau Tuba pada Jun 2021.
“Saya diberitahu Allahyarhamah berusia 106 tahun dan ini menjadikannya individu tertua di Langkawi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah. Al-fatihah,” katanya.
Dalam hantaran itu, Dr Mahathir turut memaparkan gambar kenangan beliau bertemu Sapora di Langkawi tahun lepas. – Malaysiapost

