UMNO menyifatkan pandangan PAS yang masih menganggap konsep penyatuan ummah digagaskan kedua-dua parti itu di bawah payung Muafakat Nasional (MN) adalah formula terbaik bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), sebagai ‘talam dua muka’.
Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindak tanduk PAS dalam tindakan dan keputusan jelas tidak selari apa yang diungkapkan parti itu.
“Itu pandangan PAS… daripada awal itulah pendirian kita tetapi mereka sudah memperlihatkan sikap talam dua muka.
“Kita tidak mengambil kira bahawa soal kononnya politik matang sebagai organisasi apatah lagi pertubuhan politik yang siang cakap lain dan malam berubah bercakap lain pula apatah lagi esoknya.
“Kita mahu rakan yang setia dan kesetiaan itu bukan hanya kata-kata tetapi dari segi tindakan dan juga keputusan yang dilakukan,” katanya dipetik Berita Harian.
Zahid berkata, Umno tidak mahu sahabat yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan.
Semalam media melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menegaskan pemahaman PAS berdasarkan Piagam MN dan penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada parti tertentu saja, sebaliknya dalam piagam itu jelas menyatakan MN boleh disertai mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah.
Justeru, Takiyuddin berkata, PAS masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah membabitkan semua pihak terutama parti Melayu Islam, parti Bumiputera dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Mengulas mengenainya, Zahid berkata, strategi menghadapi PRU15 secara solo adalah yang sebaiknya selepas cubaan dan peluang yang diberikan tidak dimanfaatkan dengan baik.
“Saya fikir itulah (bergerak secara solo) yang sebaiknya sebab kita sudah mencuba beberapa kali untuk memberikan ruangan yang secukupnya bagi mereka untuk terus mempersetujukan apa juga perkara yang terkandung dalam piagam penyatuan ummah.
“Tetapi, sikap mereka tidak begitu maka eloklah kalau kita lupakan saja hasrat yang dinyatakan oleh mereka itu,” katanya.
Mengenai status kerjasama Umno dan PAS setakat ini, jika terdapat dua dasar kerjasama yang berlainan iaitu di negeri dan persekutuan, Zahid berkata, perkara itu perlu menghormati keputusan yang sudah dibuat oleh parti masing-masing.
“Saya fikir elok kita hormat keputusan yang sudah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi dan kita juga menghormati keputusan yang Majlis Syura PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat, eloklah kita saling menghormati keputusan parti masing-masing,” katanya. – Malaysiapost

