POLIS mengesahkan pemandu sebuah pacuan empat roda yang tular kerana memotong barisan di Batu Pahat sudah disaman.
Polis Daerah Batu Pahat menerusi hantaran di media sosial memaklumkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah telah menerima satu video tular daripada orang awam melalui laman sosial Facebook “Dubak Tabu Hapat (Budak Batu Pahat)”.
Video tersebut memaparkan kenderaan dengan nombor pendaftaran NBOS 303 telah melakukan kesalahan “Potong Q” di Jalan Tanjung Labuh menghala ke Senggarang.
“Hasil siasatan telah berjaya mengesan butir-butir pemilik kenderaan melalui nombor pendaftaran dan pemandu kenderaan yang tular di laman media.
“Pihak polis telah mengeluarkan notis saman kepada pemandu kenderaan tersebut atas kesalahan “Potong Q” di bawah Rule 006 (1) A LN166/59,” katanya.
Sehubungan itu semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta memandu dengan sabar dan berhemah. – Malaysiapost

