Nik Nazmi sanggah dakwaan Tian Chua 

0
3

SEORANG pemimpin PKR menyanggah kenyataan Naib Presiden parti itu, Tian Chua yang mendakwa pendekatan Rafizi Ramli boleh memecahbelahkan PKR. 

Sebaliknya Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mempertahankan Rafizi yang tetap dalam parti walaupun kalah dan tiada jawatan kerajaan sebelum ini. 

Untuk rekod, Tian Chua adalah antara individu yang didakwa rapat dengan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang meninggalkan PKR, sekali gus menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH). 

Menurut Nik Nazmi, pendekatan Rafizi adalah konsisten dengan semangat reformasi. 

“Antara perbezaan pandangan dasar Azmin dan Rafizi menuju PRU 2018 adalah Azmin (termasuk Tian Chua) merasakan pembangkang perlu bersatu dengan membawa PAS bersama walaupun PAS tidak mahu bersama. Mereka yakin itu sahaja boleh menyelamatkan KEADILAN di Selangor. 

“Rafizi ambil pandangan berbeza. PH menang PRU di peringkat pusat. Tapi yang dapat jawatan dalam kerajaan PH lepas PRU 2018 adalah kartel. 

“Selain itu Rafizi juga kalah dalam pemilihan parti 2018. Tapi yang keluar parti adalah Azmin (yang menang dan dapat jawatan Menteri Ekonomi) dan kuncu-kuncunya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Baru-baru ini media melaporkan, Tian Chua memberi amaran bahawa pendekatan Rafizi dalam pemilihan PKR yang sedang berlangsung boleh memecahbelahkan parti. 

Tian Chua berkata, pendekatan Rafizi membuat pemimpin PKR perlu berpihak kepada pemimpin tertentu, dan ia tidak memberi petanda baik kepada parti itu. 

Ini berikutan Rafizi mengkritik pendekatan “khemah besar” PH semasa kempen pemilihan parti. 

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata berbanding Mohamed Azmin yang mendapat jawatan tinggi dalam kerajaan selepas PRU14, Rafizi tetap setia bersama parti walaupun tiada jawatan. 

“Jadi tak adil nak kata pendekatan Rafizi pecahkan parti sedangkan terang lagi bersuluh Azmin dan kartel yang pecahkan parti,” katanya. 

Pada pemilihan parti kali ini, Rafizi bertanding jawatan Timbalan Presiden dan dicabar oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here