SEBUAH premis dikenakan Perintah Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) oleh Jabatan Alam Sekitar selepas disyaki menyebabkan insiden pencemaran bau diesel di Sungai Semenyih.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata perintah itu dikeluarkan selepas siasatan dijalankan ke atas premis-premis di sepanjang Sungai Semenyih terutama di Kawasan Perindustrian Beranang, Selangor.

“Susulan aduan pencemaran bau diesel yang diterima JAS pada 1 Mei lalu dan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada 3 Mei lalu, JAS telah menjalankan siasatan ke atas premis-premis di sepanjang Sungai Semenyih.
“Terutamanya di Kawasan Perindustrian Beranang bagi mengesan premis yang menyebabkan pencemaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sebuah premis disyaki menyebabkan pencemaran berkenaan dan sampel campuran minyak serta air daripada premis itu turut diambil untuk siasatan lanjut.
“Perintah POK dikeluarkan dan tindakan mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dilakukan setelah memperoleh keputusan analisis kimia.
“Jika didapati bersalah, pihak premis boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum selama tempoh lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda tambahan sehingga RM1,000 sehari bagi setiap hari kesalahan,” katanya.

Wan Abdul Latiff berkata, JAS akan meneruskan siasatan dan pemeriksaan ke atas semua premis yang berpotensi melakukan pencemaran tersebut serta tindakan tegas akan diambil ke atas premis yang menyebabkan pencemaran.
“Bagi membantu JAS menangani masalah pencemaran alam sekitar, orang ramai boleh menjadi pemantau dan pemberi maklumat sehingga tertangkapnya pihak yang melakukan pencemaran.
“Pemberi maklumat boleh diberi ganjaran mengikut Seksyen 48B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga tertangkapnya pelaku ini dan pemberi maklumat diberi perlindungan mengikut Seksyen 50A akta yang sama,” katanya.
Pada 3 Meli lalu, susulan aduan pencemaran LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas dan menyebabkan 472 kawasan membabitkan lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – Malaysiapost

