JUMLAH kenderaan tinggi serta keadaan aliran trafik perlahan di Lebuhraya Utara Selatan dijangka berterusan hingga awal pagi ini.
Keadaan itu berikutan berlaku pertambahan jumlah kenderaan di jaringan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dari arah utara serta selatan tanah air menuju ke Kuala Lumpur.
Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata keadaan trafik di Lebuhraya Utara Selatan amat lancar pada awal pagi dari semua arah.
“Bagaimanapun, aliran trafik mula meningkat bermula jam 10.30 pagi tadi dari arah utara dan selatan menghala ke Kuala Lumpur.
“Trafik mula bergerak perlahan di kawasan Juru dan Seberang Perai di kedua-dua arah serta menghala ke Bukit Merah, selain kawasan Bukit Berapit dan Kuala Kangsar ke Terowong Menora,” katanya.
Mohd Yusuf berkata, selain itu trafik juga perlahan di beberapa kawasan lain seperti Simpang Pulai dan kawasan mendaki di Gua Tempurung dan Tapah serta kawasan Bidor, Sungkai dan Slim River.
“Trafik dari Johor juga meningkat di Yong Peng ke Air Hitam, Pedas- Linggi Layby ke Port Dickson, dan berlaku kesesakan di Bukit Gambir ke Ayer Keroh disebabkan kemalangan di Kilometer 193.3 arah Jasin ke Ayer Keroh.
“Kita jangka aliran trafik tinggi akan berterusan sehingga ke awal pagi nanti,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan mematuhi Jadual Perancangan Perjalanan (TTA) serta menggunakan aplikasi Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan.
Pihak PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya memastikan kenderaan diselenggara sebelum pulang serta memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet mencukupi dan berhenti di kawasan rehat dan rawat (RnR) sekiranya mengantuk atau keletihan. – Malaysiapost

