UMAT Islam di Singapura akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Selasa, 3 Mei) ini, umum Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir, hari ini.
“Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi dan tidak juga mencukupi syarat kriteria imkanur rukyah yang telah dipersetujui oleh negara-negara anggota MABIMS.
“Ini bererti esok (2 Mei) adalah hari pencukup bulan Ramadan selama 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1443H iaitu Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa (3 Mei).
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada sekalian Muslimin dan Muslimat di Singapura, Selamat Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau juga memohon maaf di atas segala kekurangan dan kesilapan.
“Semoga Allah s.w.t. menerima segala amal kebajikan kita sepanjang Ramadan dan sentiasa memelihara umat Islam Singapura dan pastikan anda terus berhati-hati ketika beraya nanti,” katanya.
Sementara itu, tiga negara serantau Malaysia, Indonesia dan Brunei mengisytiharkan sambutan Aidilfitri diraikan esok, 2 Mei. – Malaysiapost

