KERAJAAN bersetuju memberi ‘ganjaran’ sempena sambutan Hari Pekerja 2022 sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan pekerja dalam menjana kemajuan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata hadiah itu termasuk kerajaan akan menanggung 80 peratus jumlah caruman individu bekerja sendiri menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan sasaran sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia mendapat manfaat itu.
Selain itu, melalui Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia atau MyEzyCover.com yang diperkenalkan mulai hari ini, penjawat awam akan ditawarkan pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah dan skim akan diperluaskan kepada sektor swasta.
“Program ini akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Perkeso dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA),” katanya.
BACA LAGI: Aidilfitri: Trafik sesak di semua lebuh raya utama
Beliau berkata demikian dalam ucapan khas sempena Hari Pekerja 2022 bertemakan ‘Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara’ yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.
Ismail Sabri berkata gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa hari ini pula merupakan hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara. – Malaysiapost

