Sindiket penipuan tawaran bekerja di Australia ditumpaskan

0
1
Polis Di Raja Malaysia

SATU sindiket penipuan tawaran kerja yang menyasarkan mangsa warga tempatan dan warga asing di Malaysia untuk bekerja di Australia berjaya ditumpaskan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata serbuan dijalankan oleh Bahagian Risikan/Operasi JSJK Bukit Aman itu berjaya menahan sembilan suspek warga tempatan.

Menurutnya, suspek membabitkan tujuh lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 20 hingga 31 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penipuan tawaran pekerjaan di Australia.

“Pada Februari lalu, JSJK Bukit Aman telah memulakan siasatan untuk mengesan satu sindiket penipuan tawaran kerja bagi mereka yang ingin bekerja di Australia.

“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan kemudahan internet dan media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook bagi mengiklankan tawaran-tawaran pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selain menggunakan laman sosial sindiket berkenaan juga menggunakan laman sesawang palsu dimana orang yang berminat akan ditunjukkan cara-cara untuk membuat permohonan visa kerja di Australia.

“Sindiket ini didapati telah beberapa kali menukar nama syarikat perniagaan, akaun Facebook dan alamat sesawang, namun reka bentuk dan ‘tamplate’ dalam email, imvois serta media sosial masih menggunakan format sama.

“Sindiket ini mengenakan bayaran sejumlah AUD420 (RM1,400) untuk kos proses. Satu tangkap layar menunjukkan dokumen permohonan telah dihantar akan ditunjukkan kepada mangsa bagi menyakinkan mereka,” katanya.

Menurutnya, ahli sindiket kemudian akan memasukkan maklumat mangsa dalam ‘Immiaccount online application’ tetapi permohonan sebenar tidak dibuat.

“Selepas mangsa membuat bayaran sindiket akan menghantar salinan dokumen palsu kepada mangsa seperti ‘Label visa’, surat visa dan invois pembayaran cukai dengan menggunakan kepala surat ‘Australian Government – Department of Home Affairs’.

“Hasil maklumat risikan mendapati sindiket ini dipercayai beroperasi sejak 13 Mac 2020 dengan menyasarkan warga asing yang menetap di Malaysia dan sindiket ini dikesan menukar nama syarikat dari ‘Top Speed Agency Visa’ kepada ‘Cos Consultant Agency’s dan terbaharu adalah ‘Eco Travel Malaysia’,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata, mengikut rekod dalam ‘Immiaccount online application’, permohonan yang menggunakan kata kunci alamat email suspek, terdapat 658 permohonan yang masih dalam proses dan kebanyakan adalah warga Bangladesh, Malaysia dan Pakistan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat sehingga kini terdapat 1,023 individu telah membuat aduan kepada pihak Kedutaan mengenai penipuan ini, manakala sejumlah 28 laporan polis telah diterima dengan nilai kerugian RM155,472.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Mangsa lain yang mungkin telah ditipu oleh sindiket ini diminta membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here