Jakim guna kaedah baharu, Aidilfitri mungkin jatuh pada Selasa – Mufti Perlis

0
1

MALAYSIA mungkin menyambut Aidilfitri pada Selasa depan bersamaan 3 Mei, berdasarkan kriteria baharu kebolehnampakan anak bulan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perkara itu dinyatakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sambil berkata ia berbeza berbanding kebanyakan negara Islam lain yang kemungkinan besar menyambut 1 Syawal pada Isnin ini.

“Jika mengikut kriteria kebolehnampakan anak bulan yang digunakan sebelum ini, kemungkinan besar Isnin hari raya. Demikianlah kebanyakan negara Umat Islam.

“Jika pakai kriteria baru Jakim / MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura, mungkin tak nampak. Maka, kita mungkin raya Selasa,” ciapnya di Twitter hari ini.

Berpandukan kriteria baharu MABIMS, hilal ditentukan mengikut altitud 3 darjah dan longitud 6.4 darjah.

Tarikh melihat anak bulan Syawal di Malaysia ditetapkan pada petang Ahad, 29 Ramadan di 29 lokasi terpilih sebelum tarikh Aidilfitri diumumkan selepas itu.

Pada 22 April lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan Majlis Raja-raja bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh hari raya Aidilfitri adalah berdasarkan rukyah dan hisab.

Sementara itu memetik laporan Malaysiakini, Mohd Asri berkata beliau tidak mempertikai kaedah Jakim, sebaliknya menjawab soalan tentang kenapa ada perbezaan dalam perhitungan.

Malah katanya, Perlis mengikut keputusan bersama dalam menentukan tarikh Hari Raya.

“Tiada siapa boleh menyatakan kaedah lama atau baru yang lebih patut dipakai melainkan setelah dinilai oleh pakar falak.

“Perbezaan dari sudut kriteria darjah. Dari sudut ketinggian, jarak lengkung dan ketinggian,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Asri berkata rakyat di negara ini hendaklah memakai apa yang diputuskan di Malaysia.

“Pun begitu, pakar mempunyai ruang menuntut kerajaan menyemak hal itu pada masa depan,” tambahnya.

Sementara itu di Indonesia, Pusat Sains Antariksa Badan Riset dan Inovasi Nasional (Brin) dilapor berkata keadaan hilal di negara itu memenuhi kriteria ditetapkan MABIMS kerana berada pada sudut 3.75 darjah (di Merauke) hingga 5.55 darjah (Sabang).

“Sekiranya hilal dapat dilihat di Kota Sabang, Banda Aceh, dan Jantho, ia bermakna Indonesia akan menyambut 1 Syawal pada 2 Mei ini.

“Namun ia mungkin tidak sama dengan negara jiran seperti Malaysia, Brunei dan Singapura yang bakal menyambut 1 Syawal pada 3 Mei nanti,” kata peneliti Brin Andi Pangerang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here