PENDAKWAH bebas, Ebit Lew membuka ‘Rumah Singgah’ khusus untuk gelandangan yang hidup di jalanan di Jakarta Timur, Indonesia.
Ebit yang berada di Indonesia lebih seminggu lalu dalam misi bantuan kemanusiannya, memaklumkan perkara itu menerusi Facebook hari ini.
Jelasnya, ‘Rumah Singgah’ berkenaan merupakan kediaman tiga tingkat dengan 20 ‘anak punk tatoo’ diambil menjadi sukarelawan mengurus rumah berkenaan.

“Hari air mata bahagia. Hadiah Allah pada malam 27 Ramadan. Syukur kami buka Rumah Singgah untuk gelandangan yang hidup di Jalanan di Jakarta Timur.
“Rumah tiga tingkat, 20 anak Punk Tatoo baru ini kami jadikan sukarelawan yang akan menguruskan rumah ini. Mereka juga akan masak percuma untuk makan malam setiap hari untuk gelandangan yang tidur di sini,” katanya.
Jelas Ebit, pihaknya memberi keutamaan kepada ibu dan anak kecil serta warga tua yang ingin menumpang tidur di rumah singgah terbabit.
“Kami juga akan aturkan kelas pengajian solat dan al-Quran untuk anak jalanan ini.
“Paling sebak bila tengok anak muda Punk ini semua rajin dan akhlak mereka. Bila nak balik semua menangis peluk saya.
“Katanya kami tak pernah rasa ada orang menyayangi kami begini. Mereka tak sabar nak berniaga sedikit dan nak ubah cara mereka mencari rezeki. Kami juga akan terus membantu mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ebit mengakui tidak dapat menahan sebak apabila melihat ibu dengan anak kecil datang menumpang tidur di rumah singgah yang diwujudkannya itu.
“Syukur malam ini mereka tidak kesejukan di tepi jalan atau tempat sejuk. Ramai tak kenal ayah. Tak kenal ibu bapa. Allahuakbar. Dari kecil ada dijalanan.
“Ya Allah hanya kau yang maha kuasa atas segalanya. Bantulah dan jagakanlah mereka semua. Terimalah niat anak punk ini untuk menjadi lebih baik dan berjaya membantu lebih ramai orang.
“Cita-cita mereka ingin membantu semua anak dijalanan yang tiada tempat tidur dan makan,” katanya. – Malaysiapost

