Aidilfitri: 2 juta kenderaan mulai keluar dari Lembah Klang

0
2

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menjangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan bergerak keluar dari Lembah Klang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sempena Aidilfitri kali ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, berkata jumlah kenderaan yang bergerak keluar dijangka bertambah secara berperingkat bermula malam tadi sehingga menjelang hari pertama sambutan Aidilfitri pada 3 Mei ini.

“Kita jangkakan kira-kira dua juta kenderaan akan berada di atas jalan raya serta lebuh raya menuju ke utara, tengah, timur dan selatan negara.

“Sehubungan itu, JPJ mengadakan Operasi Sempena Musim Perayaan Aidilfitri (Op HRA) 2022 secara bersepadu dengan pelbagai agensi bermula malam ini (malam tadi),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media Op HRA 2022 di Plaza Tol Sungai Besi, malam tadi.

Katanya, operasi bukan bertujuan menyusahkan pengguna jalan raya, sebaliknya untuk memastikan pemandu mematuhi segala peraturan seterusnya mengelak berlaku kemalangan.

“Pertambahan jumlah kenderaan itu juga membawa kebarangkalian tinggi bahawa jumlah kemalangan juga akan bertambah,” katanya.

Tambah beliau, statistik PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menunjukkan jumlah kemalangan dan kemalangan maut di Lebuhraya PLUS sama ada di wilayah utara, tengah dan selatan negara untuk suku pertama tahun ini meningkat terutama di utara berbanding tempoh sama pada 2019.

“Paling membimbangkan adalah kadar kemalangan dan kematian di wilayah utara yang meningkat 11 peratus iaitu 142 kemalangan dengan 14 kematian berbanding 128 kemalangan dan lima kematian pada 2019, kebanyakannya kenderaan berat.

“Statistik berkenaan adalah jumlah kemalangan dan kematian yang berlaku bukan pada musim perayaan, justeru kita bimbang jumlah kemalangan akan meningkat pada musim perayaan Aidilfitri kali ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya JPJ turut meningkatkan pemantauan di 20 lokasi kerap berlaku nahas di sekitar Lembah Klang dengan 10 lokasi di Selangor dan 10 lokasi di ibu kota.

Di Selangor, membabitkan laluan di Rawang (Templer Park), Bangi (Sungai Balak), Lebuhraya ELITE (Seafield), Kuala Selangor (Jalan Kuala Selangor – Kapar), Pelabuhan Barat/Pelabuhan Utara, Klang dan Dengkil (Bandar Serenia – Kota Warisan).

Selain itu, Klang (Bandar Sultan Sulaiman), Lebuhraya NPE (Petaling Jaya), Lebuhraya NKVE (Kota Damansara) serta Lebuhraya Persekutuan.

Dalam pada itu, Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta dan Jalan Sungai Besi dikenal pasti lokasi kerap nahas di ibu kota.

Mengulas lanjut, Zailani berkata bagi mengurangkan risiko berlaku kemalangan, pihaknya tidak akan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) sebaliknya lebih kepada menunjukkan keberadaan pasukan JPJ di lokasi.

“Ini termasuk penguatkuasaan oleh unit Smart Enforcement Device (SmED) dan Enforcement Action Camera (EAC).

“Ia dilaksanakan anggota Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) yang dilengkapi alat perakam video mudah alih berdefinisi tinggi jenis GoPro dipasang pada topi keledar untuk merakam kesalahan trafik,” katanya.

Mengenai Op HRA 2022 di Plaza Tol Sungai Besi, malam tadi, Zailani berkata dalam operasi bermula jam 9 malam itu, 1,137 kenderaan diperiksa dengan 279 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan membabitkan 507 saman.

“Kesalahan tertinggi adalah tiada lesen memandu (204), diikuti tiada cukai jalan/cukai jalan tamat tempoh (150), tayar botak/celup (29), cermin gelap (26), lampu High Intensity Discharged (HID) (20), lori bawa lebih muatan (15) dan lori bawa muatan bahaya (enam).

“Kesalahan lain yang dikesan termasuk tiada lesen memandu kenderaan barang (GDL), nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, kesalahan teknikal kenderaan seperti ubah suai ekzos dan sebagainya,” katanya.

Menurut Zailani, operasi diteruskan sehingga awal pagi memfokuskan pemeriksaan ke atas bas ekspres dengan kekuatan anggota seramai 198 orang terdiri daripada anggota JPJ (140), Polis Diraja Malaysia (12), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (tujuh), Jabatan Alam Sekitar (10), Jabatan Imigresen (sembilan) dan petugas PLUS (20). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here