SERAMAI 13 pelajar Tingkatan Empat yang ditahan kerana membelasah seorang pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Langkawi, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata pihaknya telah mengambil percakapan semua pelajar yang terlibat bagi membantu siasatan.
“Rakaman percakapan telah diambil dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan 13 pelajar Tingkatan Empat ditahan bagi membantu siasatan kes buli secara kekerasan susulan rakaman video kejadian itu tular di media sosial.
Semua yang ditahan terlibat dalam memukul dan memijak seorang pelajar lain di sekolah sama.
Tangkapan dibuat antara jam 12.30 tengah hari hingga 3 petang semalam di beberapa lokasi termasuk sekolah serta rumah pelajar dengan lima yang ditahan adalah rakan sekelas mangsa manakala lapan lagi daripada kelas berlainan.
Polis juga mengesahkan perselisihan faham punca seorang pelajar dipukul serta dipijak beramai-ramai.
Berdasarkan rakaman video yang tular, mangsa dipijak, ditumbuk serta ditendang kira-kira 10 pelajar lain. – Malaysiapost

