
PELAJAR Tingkatan Satu sekolah khusus Kementerian Pendidikan (KPM) seperti sekolah berasrama penuh akan mendaftar diri secara fizikal bermula 13 hingga 15 Mei depan.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelajar diterima masuk ke sekolah khusus selama ini yang menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR), boleh mendaftar dalam tempoh tarikh berkenaan di sekolah masing-masing.
“Pendaftaran fizikal bagi pelajar baharu Tingkatan Satu bermula 13 hingga 16 Mei sebelum sesi persekolahan bermula pada 17 Mei. Ia melibatkan pelajar baharu dan rayuan.
“Bagi pelajar Tingkatan Empat pula hanya melibatkan yang rayuan, memandangkan pelajar baru Tingkatan Empat telah pun mendaftarkan diri sebelum ini,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.
Dr Radzi juga menjelaskan, pelajar Tingkatan Satu dan Empat yang merayu kemasukan ke sekolah khusus bolehlah menyemak nama mereka di laman web KPM mulai esok.
Sementara itu, katanya, ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di asrama mamu menarik nafas lega dengan pengumuman terbaharu KPM hari ini.
“Ibu bapa dibenarkan melawat dan memasuki kawasan sekolah asrama. Tidak perlu lagi susah nak hantar barang, terpaksa tinggalkan di pondok kawalan lagi jika mahu menghantar barang kepada anak mereka,” katanya. – Malaysiapost
