KELUARGA diraja Johor memberi bantuan berjumlah RM123 juta merangkumi pelbagai jenis sumbangan bagi membantu kehidupan 1.6 juta rakyat negeri itu sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau mewakili Bangsa Johor merafak setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar atas kurniaan Keluarga diraja Johor menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor untuk membantu rakyat.
“Merafak sembah setinggi-tinggi kasih juga kepada Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang berkenan mengurniakan sumbangan kepada menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Onn Hafiz berkata, Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Keluarga diRaja Johor telah menyantuni Bangsa Johor sejak sekian lama.
“Semalam saya telah berkongsi tentang bantuan Rumah Impian Bangsa Johor yang telah diilhamkan oleh Sultan Ibrahim dalam merealisasikan hasrat Baginda agar Bangsa Johor dapat memiliki rumah sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, beliau juga merafak sembah setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Johor atas kurniaan sumbangan peribadi kepada rakyat.
“Semoga kurniaan ini dapat meringankan beban golongan yang memerlukan,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Tunku Ismail berkenan berangkat ke Majlis Penyerahan Kunci Rumah Impian Bangsa Johor (RIBJ) di Bandar Dato Onn, Johor Bahru.
Sebanyak 488 unit RIBJ di Bandar Dato Onn disiapkan oleh Johor Land Berhad (JLand), merealisasikan hasrat Sultan Ibrahim bagi menyediakan peluang untuk rakyat Johor memiliki hartanah kediaman mereka sendiri. – Malaysiapost

