Zon Maritim Semporna gagalkan cubaan seludup rokok

0
2

CUBAAN empat bot laju menyeludup masuk rokok putih pada kedudukan kira-kira 0.3 batu nautika Timur Pulau Larapan, Semporna sekitar jam 5.30 pagi tadi berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Kejayaan itu membabitkan Op Pagar Laut yang dilaksanakan pasukan Zon Maritim Semporna.

Pengarah Zon Maritim Semporna Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata hasil maklumat risikan, Zon Maritim Semporna mengatur gerak bot ronda ke lokasi dan berjaya mengesan empat bot enjin sangkut yang ditinggalkan.

Menurutnya, pemilik bot dipercayai telah meloloskan diri sejurus menyedari kehadiran penguatkuasa.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua bot itu tidak memiliki nombor pendaftaran dan pada masa sama pasukan operasi menemukan 380 karton rokok putih tanpa cukai di dalam bot terbabit.

BACA LAGI: Bot nelayan langgar syarat sah lesen ditahan Maritim Malaysia

“Rokok berkenaan disyaki cuba diseludup masuk ke Semporna untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua rokok bersama bot serta enjin berkenaan dianggarkan bernilai RM45,000 dan dirampas untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup masuk rokok putih tanpa cukai.

“Pihak penguatkuasa masih meneruskan siasatan terhadap pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan ini,” katanya. – Malaysiapost

Rokok-rokok yang gagal diseludup masuk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here