Larangan laungan azan guna pembesar suara bukan di Malaysia – PDRM

0
3

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa kenyataan berhubung larangan laungan azan menggunakan pembesar suara bukan dikeluarkan di Malaysia, sebaliknya berlaku di Pune, India.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata arahan itu dikeluarkan oleh Presiden Maharashtra Navnirman Sena (MNS), Raj Thackeray dan dilaporkan dalam portal The New Indian Express pada 17 April lalu.

Menurutnya, Raj Thackeray turut mengarahkan agar membuang semua pembesar suara dari masjid sebelum 3 Mei ini dan mengumandangkan ‘Hanuman Chalisa’ (puisi untuk dewa) di hadapan masjid sekiranya arahan tersebut gagal dipatuhi.

“Dalam perkembangan berkaitan, PDRM sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun TikTok ‘syierabahari’ yang dilihat mengulas isu tersebut secara provokasi dan mungkin boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum di Malaysia.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikam mana-mana golongan atau kaum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA LAGI: Pegawai polis wanita buat ‘live’ TikTok ditukar ke IPK Johor

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan masih diteruskan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

“PDRM turut menasihatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensiviti agama dan kaum,” katanya.

And Jalil berkata, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here