PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan setiap dakwaan dan tuntutan fitnah seperti yang dinyatakan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi satu kenyataan media, peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Dr Mahathir tidak berganjak bahawa kenyataan yang telah dinyatakan sebelum ini adalah benar.
“Pada hari ini 27 April 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan tarikh pengurusan kes bagi saman fitnah yang melibatkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tun Dr Mahathir selaku defendan dalam kes ini telah melantik Tetuan Haidir & Co sebagai peguam yang bertanggungjawab untuk mengendalikan kes ini bagi pihak beliau,” katanya.
Mior Nor Haidir berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan arahan selanjutnya untuk pendengaran kes ini berkaitan permohonan Interim Injunksi Plantif pada jam 9 pagi 17 Jun depan.
Menurutnya, mahkamah juga menetapkan tarikh sama bagi pengurusan kes saman plaintif tersebut.
“Anak guam kami Tun Dr Mahathir menafikan setiap dakwaan dan tuntutan fitnah seperti yang dinyatakan plaintif. Ingin dimaklumkan anak guam kami tidak berganjak bahawa kenyataan dinyatakan beliau adalah benar.
“Dan memelihara hak beliau untuk memfailkan tuntutan balas jika perlu di mahkamah kelak,” katanya.
Terdahulu Ahmad Zahid memfailkan saman fitnah terhadap Dr Mahathir pada minggu lalu berhubung isu mempengaruhi bekas Perdana Menteri itu untuk mencampuri urusan perbicaraan kes yang dihadapinya di mahkamah.
Pada 23 Februari lalu, Dr Mahathir dalam satu sidang media, mengakui pernah didatangi Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan yang ingin meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah. – Malaysiapost

