SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memanggil individu terbabit dalam klip video muzik Aidilfitri dikaitkan dengan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang menimbulkan kontroversi, baru-baru ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata individu yang dikenal pasti telah diberi notis dan diminta untuk hadir di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, pagi ini.
“SKMM telah teliti di peringkat awalan, dan ada sebab untuk siasatan dilaksanakan, dan dengan itu satu kertas siasatan dibuka untuk siasat perkara ini bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Selain itu, Annuar turut mengesahkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menerima terlalu banyak aduan termasuk daripada Jabatan Perdana Menteri khususnya Hal Ehwal Agama dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berhubung klip video itu.
Beliau berkata, keresahan itu timbul kerana klip video berkenaan mempunyai unsur tertentu yang bercanggah dengan amalan dan norma masyarakat negara ini.
BACA LAGI: Menteri Agama minta klip video lagu raya Alif Syukri tidak disiarkan
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bercadang mahu mengadakan pertemuan dengan Aliff Syukri berkaitan video muzik kontroversi itu.
Katanya, video yang menampilkan aksi terkinja-kinja sekumpulan penari lelaki perwatakan lembut itu tidak selari dengan adab ketimuran dan ajaran Islam.
Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuh gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.
Video berdurasi 5 minit 23 saat dianggap netizen telah dicemari gaya keterlaluan penari lelaki lembut berkenaan.
Malah, ada yang menyifatkan paparan aksi dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini. – Malaysiapost

