Banjir kilat KL: Shahidan, Tuan Ibrahim perlu beri penjelasan

0
2

AHLI Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menuntut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan punca banjir kilat di ibu negara, semalam.

Lip Eng berkata, penjelasan daripada kedua-dua pemimpin itu penting selepas mengambil kira faktor semua projek tebatan banjir di Kuala Lumpur ‘berjaya’ dilaksanakan.

Ahli Jawatankuasa DAP Pusat itu berkata, banjir kilat di ibu negara semalam, lebih buruk dan berlaku kurang dari empat bulan berbanding kejadian sama pada Disember lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warga Kuala Lumpur.

“Sehingga kini tiada penjelasan berhubung punca kekerapan kejadian banjir kilat di ibu kota dikemuka pihak berkuasa, walaupun peruntukan besar sudah dibelanjakan bagi pelbagai projek tebatan banjir.

“Kedua-dua menteri ini perlu mendedahkan kepada masyarakat umum, sama ada sebarang penilaian kesan alam sekitar menyeluruh di Lembah Klang sudah dijalankan atau sebaliknya.

BACA LAGI: Bentang segera Pelan Mitigasi Banjir di Dewan Rakyat

“Ini kerana, warga Kuala Lumpur tidak terlepas daripada banjir besar setiap kali hujan lebat kurang setengah jam. Kereta mereka perlu dibaiki, selain rumah perlu dibersihkan dengan setiap kejadian akan mengakibatkan kerugian harta bernilai jutaan ringgit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan mampan sangat diperlukan di kawasan bandar, sebaliknya bukan hanya tertumpu kepada bangunan pencakar langit yang akan memburukkan lagi keadaan, jika pembinaannya tidak dikawal.

“Hujan lebat tidak boleh dijadikan sebagai alasan kerana ia bukanlah suatu bencana alam. Sebaliknya, banjir kilat akibat hujan lebatlah bencana besar kepada warga Kuala Lumpur,” katanya.

Semalam, media melaporkan, beberapa kawasan di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat sehingga berlakunya kesesakan lalu lintas susulan hujan berterusan sejak petang.

Antara kawasan terbabit banjir kilat adalah Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Semantan, Jalan Pintasan Gambut, Jalan Kinabalu, Jalan Changkat Thambi Dollah, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Travers, Bulatan Dato Onn dan Jalan Merdeka.

Beberapa lokasi lain yang terbabit antaranya Jalan Semantan, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching, Jalan Changkat Thambi Dollah, Travers dan di sekitar kawasan berhampiran Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here