AHLI parti yang setia akan memastikan keutamaan parti sendiri adalah nombor satu, manakala kepedulian parti luar lebih-lebih lagi yang telah mengkhianati muafakat tidak wajar diberi tempat dalam keutamaan parti.
Itu ingatan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin Umno agar mengutamakan parti sendiri, bukannya mempertahankan parti lain.
Tanpa menamakan mana-mana pemimpin, teguran itu dipercayai ditujukan kepada Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa susulan kenyataannya berhubung dokumen ‘PASleak’.
Menurut Ahmad Zahid, ahli parti yang setia sudah tentu akan sentiasa berwaspada dengan setiap kenyataan, langkah, pendirian dan tindak tanduk pemimpin mereka dan pemimpin lawan.
“Ketika musuh luar parti bermuslihat dan dengan licik cuba memperdaya parti lawan menggunakan pelbagai taktik dan strategi, kita sebagai orang parti dari ahli biasa ke peringkat bahagian parti perlu lebih bijaksana dalam membaca gerak geri lawan.
“Jangan pula tindak tanduk kita umpama musuh parti luar yang sama menari ikut rentak mereka.
“Sekali dua kenyataan bertentangan dengan dasar parti dapatlah dianggap kebetulan, namun sudah beberapa kali itulah namanya bukan kebetulan lagi,” kata Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Annuar menyifatkan dokumen ‘PasLeak yang tersebar di media sosial baru-baru ini tidak memiliki elemen yang luar biasa hingga memerlukan semua pihak memperbesarkan isu tersebut.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, penelitian terhadap dokumen berkenaan didapati tidak terdapat perancangan dibuat oleh golongan tertentu seperti digembar-gemburkan beberapa pihak ketika ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berharap ahli Umno terus merapatkan barisan, mengukuhkan kesiapsagaan dan menolak musuh parti.
“Sekali kita bersetia, janganlah berderhaka kepada parti. Tanpa parti tiadalah jawatan menteri atau lantikan politik,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa hantaran didakwa minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Antara nama disebut sebagai ‘perancang utama’ dalam dokumen itu ialah Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain. – Malaysiapost

