HARAPAN Manchester United untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan berkubur susulan kekalahan di tangan Arsenal semalam.
Pengurus interim United, Ralf Rangnick tanpa segan silu mengakui anak buahnya terpaksa akur dengan situasi tidak berpihak kepada pasukan bergelar ‘Red Devils’ ketika ini.
“Sememangnya bagi saya, meskipun sebelum perlawanan ia masih belum dapat dipastikan, tetapi dengan keputusan hari ini, ya, ia sudah berakhir.
“Saya fikir kami telah menunjukkan peningkatan tetapi pada akhirnya ia satu keputusan yang mengecewakan,” katanya kepada wartawan ESPN sejurus perlawanan berakhir.
United yang bertandang ke Stadium Emirates selepas dibelasah Liverpool 0-4 pada pertengahan minggu lalu nyata masih belum pulih daripada mood kekalahan apabila terus mempamerkan aksi hambar.
Bagaimanapun Rangnick bingkas mempertahankan anak buahnya dengan menyifatkan United telah menunjukkan peningkatan namun nasib tidak memihak kepada juara 20 kali Liga Inggeris itu.
“Saya fikir kami telah bangkit dengan baik dari gol awal dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol di masa pertama dan kedua.
“Saya fikir bahagian yang lemah dalam persembahan kami hari ini adalah kami tidak bertahan dengan baik di dalam dan di sekitar kotak penalti.
“Saya merasakan terdapat tiga keputusan yang tidak bernasib baik disebabkan VAR. Bagi saya, gol ketiga Arsenal adalah offside. Gol kedua dari Cristiano tidak offside.
“Kami tidak begitu gembira dengan keputusan VAR hari ini. Satu persembahan yang bertambah baik tetapi keputusannya mengecewakan,” katanya.
Secara perkiraan matematiknya harapan United memburu tiket automatik ke UCL masih ada namun dengan Arsenal dan Spurs yang kekurangan satu perlawanan menyebabkan United terpaksa akur dan melupakannya. – Malaysiapost

