TINDAKAN pantas anggota Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Mahawangsa
berjaya menghalang lima bot nelayan asing cubamenceroboh perairan negara bagi mengaut hasil laut secara tidak sah di
perairan Pulau Perak, petang semalam.
Susulan maklumat disalurkan Pusat Kawalan Maritim (MCC) Barat, KD Mahawangsa yang dalam penugasan Op Benteng Laut bergerak ke posisi pengesanan bagi mengesahkan
keberadaan bot-bot yang dilaporkan.
Markas Pemerintahan Armada Barat menerusi kenyataan hari ini berkata, siasatan lanjut mengesahkan terdapat lima bot nelayan asing berada di lokasi terbabit dan sedang cuba memasuki perairan negara.
“Hasil kecekapan dan koordinasi tindakan pantas KD Mahawangsa telah berjaya memintas dan melaksanakan pengusiran kesemua BNA keluar dari perairan negara,” katanya.
Terdahulu, Pesawat B200T (RMF 380) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan keberadaan lima bot terbabit di posisi kira-kira 44 batu nautika Tenggara Pulau Perak.
Menurut kenyataan itu, maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tindakan lanjut. – Malaysiapost

