Bella sudah pulih, yakin bergaul dengan rakan – PM

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kerajaan mengambil serius terhadap kes pengabaian dan penganiayaan remaja Sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella.

Beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membuat intervensi dengan menyelamatkan Bella selain membawa remaja orang kelainan upaya (OKU) itu keluar dari pusat jagaan Rumah Bonda.

“Rumah jagaan baru di Seremban telah menjaga Bella dengan baik.

“Hari ini saya bertemu Bella, Bella sudah pulih seperti sedia kala… berkeyakinan tinggi untuk bergaul dengan rakan-rakan.

“Terima kasih kepada kakitangan pusat jagaan di Seremban ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Dalam hantaran itu juga memaparkan klip video beliau sedang berbual dengan Bella ketika remaja itu sedang melukis.

Ismail Sabri berkata, kes menyayat hati yang menimpa Bella merupakan antara banyak kes yang mungkin berlaku namun tidak dilaporkan kepada pihak berwajib.

“Bukan sahaja isu penderaan tetapi juga isu anak yatim yang dihantar ke rumah anak yatim tidak mempunyai dokumen seperti sijil kelahiran dan lain-lain. Banyak pusat-pusat jagaan yang tidak didaftarkan dan menyukarkan pemantauan.

“Bagi penyelesaian tuntas, Kabinet telah memutuskan membentuk JK (Jawatankuasa) Kabinet Melindungi Kumpulan Rentan seperti kanak-kanak, OKU, warga emas serta wanita.. saya sendiri akan mempengerusikan JK Kabinet ini,” ujarnya lagi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan melihat secara menyeluruh berkaitan pendaftaran pusat jagaan, mempermudahkan pendaftaran dan pindaan akta lapuk mengeluarkan sijil kelahiran termasuk penstrukturan semula JKM. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here