Malaysia perlu nyatakan pendirian isu penindasan etnik Uyghur

0
1
Pengasas Institut Pemikir Bait Al-Amanah, Dr Abdul Razak Ahmad

MALAYSIA diminta mengambil pendekatan lebih jelas berhubung isu penindasan etnik minoriti Uyghur di Xinjiang, China.

Pengasas institut pemikir Bait Al-Amanah Dr Abdul Razak Ahmad mencadangkan Malaysia mewujudkan wakil khas untuk menangani isu tersebut.

“Ada beberapa perkara yang Malaysia boleh lakukan. Pertama, perlu mendesak kerajaan untuk mempunyai pandangan yang lebih jelas dalam perkara ini.

“Ini kerana, kita tidak begitu konsisten dalam menyuarakan perkara ini walaupun secara jelas kita tidak melakukan perkara yang memudaratkan masyarakat Uyghur di tanah air kita, seperti menghantar mereka pulang.

“Kedua, sudah tiba masanya juga untuk Malaysia mempunyai special envoy (wakil khas) dalam menyuarakan isu Islamofobia – saya melihatnya sebagai isu Islamofobia – agar ia dapat ditangani bukan sahaja di peringkat bilateral, malah di peringkat universal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi yang membincangkan topik ‘Etnik Muslim Uyghur Ditindas China: Benar atau Tidak?’ hari ini.

Katanya lagi, Malaysia tidak pernah menyokong pendirian China atau secara jelas mengutuk tindakan China dalam hal itu dan mengambil pendekatan lebih sederhana berbanding isu di Palestin dan Syria.

“Walaupun ia sukar dilakukan selari dengan usaha memastikan aliran perdagangan dan pelaburan menggalakkan, Malaysia tidak boleh kecundang dalam mempertahankan umat Islam sejagat.

“Malah, masyarakat antarabangsa juga memainkan peranan untuk mengetengahkan isu ini agar penyelesaian drastik dapat dilakukan,” ujarnya.

Katanya lagi, apa sahaja tindakan yang dilakukan, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian yang lebih jelas selain tidak menjejaskan hubungan baik antara Malaysia dan China. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here