Jabatan Mufti Perlis nafi tuduhan Ustaz Wadi Anuar

0
2

JABATAN Mufti Negeri Perlis menafikan dakwaan ada mengeluarkan peraturan ‘mendahulukan tangan sebelum lutut’ ketika sujud seperti yang tular dalam satu video penceramah bebas.

Menerusi kenyataan, jabatan itu menegaskan tiada peraturan seperti itu dikeluarkan di negeri berkenaan dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat yang tidak berasas.

“Telah tersebar satu potongan video, seorang penceramah yang dikenali dengan nama (ditulis di video tersebut) Wadi Anuar.

“Beliau telah menyatakan bahawa sebuah negeri telah mengeluarkan peraturan sujud dalam solat iaitu dengan ‘mendahulukan tangan sebelum lutut’ ketika hendak sujud. Dalam video beliau itu ditulis pula nama Perlis sebagai ulasan,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Mufti Negeri Perlis berkata, sekiranya ada pendapat mana-mana penceramah di Perlis, itu bukan peratusan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri tersebut.

Menurut kenyataan itu, penceramah awam tidak mewakili pihak berkuasa agama .

“Kita percaya kenyataan itu bertujuan menimbulkan permusuhan sesama Muslim tanpa alasan yang sah.

“Jika diandaikan hal itu memang wujud, maka tidak sepatutnya juga dijadikan isu permusuhan sesama Muslim dalam perkara khilaf feqah seperti ini,” katanya.

Justeru, pihak berkuasa agama itu menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan sesetengah penceramah yang bersifat suka menfitnah, membuat cerita bohong untuk menimbulkan kebencian dan salah sangka sesama Muslim.

“Lebih mendukacitakan jika hal ini sanggup dilakukan di bulan Ramadan yang mulia ini. Golongan ini termasuk dalam al-nammam iaitu pembawa api permusuhan dan kebencian sesama Muslim,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here