ISRAEL semalam melancarkan serangan udara pertamanya di Semenanjung Gaza dalam beberapa bulan, sebagai tindak balas kepada roket yang dilepaskan dari kawasan Palestin selepas keganasan hujung minggu di sekitar tapak suci Baitulmaqdis.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan oleh kementerian kesihatan Palestin pada Selasa, memetik portal Aljazeera.
Briged Ezzedine al-Qassam iaitu cabang bersenjata Hamas, berkata mereka bertindak balas dengan peluru berpandu darat ke udara.
“Pertahanan udara kami bertindak balas terhadap pesawat perang Zionis di langit Semenanjung Gaza dengan peluru berpandu darat ke udara tepat pada 01:35 waktu tempatan pagi Selasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Hamas telah memberi amaran bahawa sebarang insiden di perkarangan Masjid Al-Aqsa, tapak yang dihormati oleh orang Islam dan Yahudi, akan menjadi ‘garisan merah’ selepas tentera Israel menyerbu tapak di Baitulmaqdis Timur.
Palestin menuduh Israel menceroboh Al-Aqsa semasa bulan suci Ramadan. Israel berkata penunjuk perasaan Palestin berusaha untuk mengganggu solat Muslim untuk tujuan politik dan menghalang kunjungan orang Yahudi, yang merayakan Paskah.
Polis Israel berkata mereka komited untuk memastikan semua penganut agama dapat menyambut perayaan dengan selamat.
Sebelum serangan roket, Perdana Menteri Israel Naftali Bennett menuduh Hamas melancarkan ‘kempen gangguan liar’ terhadap Israel.
Jumaat lalu, sekurang-kurangnya 152 rakyat Palestin cedera oleh polis Israel di dalam perkarangan masjid.
Tindakan keras oleh tentera Israel ke atas penunjuk perasaan yang berdemonstrasi menentang percubaan untuk mengusir secara paksa penduduk Palestin dari rumah mereka di kejiranan Baitulmaqdis Timur Sheikh Jarrah tahun lepas membawa kepada peningkatan keganasan apabila pejuang Hamas melancarkan roket dan Israel melancarkan serangan 11 hari ke atas Gaza. – Malaysiapost

