Pengeluaran Khas KWSP bukan untuk bermewah sambut Aidilfitri – Zahid

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid mengingat pencarum yang membuat Pengeluaran Khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 one-off yang dikreditkan bermula hari ini, tidak menggunakannya untuk bermewah menyambut Raya.

Beliau berkata, sebaliknya pengeluaran itu adalah untuk membantu mengurangkan bebanan rakyat yang masih bergelut dengan impak buruk pandemik Covid-19.

“Justeru, gunakanlah ia sebaik mungkin untuk bangkit dan keluar daripada kesulitan yang sedang dihadapi dan saya doakan segala usaha saudara saudari dipermudahkan,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut bersyukur pengeluaran khas KWSP yang diluluskan dipercepatkan daripada 20 April kepada hari ini.

Katanya, dengan keputusan itu maka terbuktilah KWSP sememangnya mempunyai kemampuan untuk membenarkan permintaan rakyat.

“Kepada yang memberi dan meluluskan pengeluaran khas wang simpanan KWSP milik saudara dan saudari ini.

“Tahniah kepada semua yang bersama dalam desakan kepada Kementerian Kewangan supaya membenarkan pengeluaran itu sebelum ini,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan itu sekali gus membuktikan dakwaan pengeluaran khas RM10,000 akan menjejaskan strategi pelaburan KWSP, sebagai tidak benar.

“Apa yang pasti ramai akan mendapat manfaat disebalik pengeluaran itu termasuk mereka yang mungkin gigih mentohmah Umno dan saya sebelum ini.

“Para pencarum yang menerimanya akan mendapat manfaat juga para peniaga yang menerima tempias daripada pertambahan aliran tunai dalam pasaran.

“Dan tentunya pengeluaran khas wang simpanan KWSP lebih bermakna tatkala umat Islam akan menyambut ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan Pengeluaran Khas KWSP sebanyak RM10,000 (one-off) dikreditkan bermula hari ini.

Beliau berkata, Pengeluaran Khas itu dicepatkan masanya berbanding yang dijadualkan iaitu pada 20 April atau Rabu ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here