Dadah bernilai RM4.6 juta dirampas

0
1

SATU sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah yang bergiat aktif di sekitar Kelantan sejak Disember lalu berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya tujuh suspek serta sejumlah 120.5 kilogram (kg) dadah dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kejadian itu hasil enam serbuan antara 15 April hingga 16 April lalu oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama Polis Kontinjen Kelantan.

Menurutnya, tujuh suspek yang ditahan adalah berusia 25 hingga 46 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu, pil kuda atau yaba dan ubat batuk bagi pasaran tempatan.

“Tangkapan pertama adalah membabitkan pasangan suami isteri bersama sejumlah pil kuda dalam serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa pada jam 8.15 malam 15 April lalu.

“Serbuan susulan berjaya menahan lima lagi suspek membabitkan pemandu bot, juruteknik penghawa dingin, pendandan rambut, penganggur dan berniaga sendiri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan sindiket berkenaan adalah menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan.

Ayob Khan berkata, hasil serbuan berjaya merampas dadah dianggarkan bernilai RM4.6 juta membabitkan syabu, pil yaba dan ubat batuk yang boleh digunakan seramai 602,540 penagih dadah.

“Aset sindiket dadah ini juga dirampas yang kesemuanya sebanyak RM538,000 yang terdiri daripada kenderaan, barang kemas, jam tangan, Wang tunai dan telefon bimbit

“Saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek mendapati mereka negatif dadah dan semuanya direman tujuh hari sehingga 22 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya dan kesemua suspek adalah warga tempatan.

Beliau berkata bekalan dadah dibawa masuk dari negara jiran melalui pengkalan haram di Tumpat.

“Berdasarkan statistik pengkalan haram yang ada di sempadan Kelantan dan Thailan ada 181 pengkalan haram iaitu lapan di Jeli, 27 di Tanah Merah, 82 di Pasir Mas dan 64 di Tumpat

“Kebanyakan barangan kontraband yang diseludup melalui pengkalan haram ini adalah dadah dengan syabu tertinggi iaitu 84 peratus,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here