KEPUTUSAN Nurul Izzah Anwar tidak menyertai pemilihan PKR kali ini menyebabkan “langkah” calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli sedikit tempang.
Menurut sumber dalaman PKR, meskipun Rafizi popular di media sosial, namun gerakan pencabarnya Datuk Seri Saifuddin Nasution lebih tersusun.
“Langkah Rafizi agak tempang sedikit apabila Nurul Izzah mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam pemilihan kali ini.
“Semua tahu bahawa Rafizi dengan Nurul Izzah merupakan gabungan ideal dalam PKR, sekiranya Nurul Izzah bertanding ia sedikit sebanyak mempengaruhi sokongan Rafizi.
“Rafizi hanya popular di media, tetapi gagal memberi sentuhan terhadap ahli akar umbi,” katanya kepada Malaysiapost.
Rafizi kembali ke arena politik selepas “bersara” buat seketika dan kini menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
Segelintir ahli PKR kurang senang dengan langkah bekas ahli Parlimen Pandan itu yang ingin bergandingan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemudi PKR.
Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR turut menawarkan diri bagi merebut jawatan no dua dalam PKR itu.
Mengulas lanjut sumber berkata, meskipun tidak lantang ataupun popular di media mahupun media sosial, Saifuddin mempunyai sentuhan dengan ahli akar umbi.
“Beliau mempunyai sentuhan yang baik dengan ahli di peringkat cabang dan majoriti bersama beliau.
“Berbanding Rafizi beliau gagal menguasai ahli di peringkat cabang yang akan menentukan kemenangannya. Bahkan ada “budak” Rafizi kini bersama Saifuddin,” katanya. – Malaysiapost

