PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meminta penjelasan lanjut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan Majlis Tertinggi (MKT) Umno untuk tidak meneruskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dengan pembangkang seperti yang diumumkan semalam.
Menurutnya, dalam pertemuan antara Perdana Menteri dengan kepimpinan PN pada minggu lalu, perkara itu turut dibangkitkan, namun tiada keputusan tetap mengenai MoU berkenaan.
“Saya baca tentang perkara itu..pertama tentang soal sama ada mereka nak lanjut atau tak lanjut MoU.
“Itu dalam pertemuan kami iaitu pimpinan PN dengan Perdana Menteri minggu lepas, kita ada bincang soal itu. Jadi pada waktu itu Perdana Menteri beritahu dan kami bersetuju bahawa belum ada apa-apa rundingan nak dibuat sama ada nak lanjutkan atau tidak dilanjutkan.
“Jadi saya setuju tentang pendirian itu. Tetapi hari ini ada keputusan yang agak berbeza sedikit jadi kita nak dapatkan penjelasanlah adakah dia nak berhenti (MoU) atau nak lanjut belum tahu lagi,” katanya kepada pemberita selepas lawatannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Sementara itu ditanya mengenai ketetapan MKT Umno yang mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Muhyiddin menyifatkannya perkara itu sebagai hak Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Itu soal parti Umno atau BN, dia nak calon siapa sahaja kita dengar sahaja, tapi saya tak perlu nak buat apa-apa komen..Kerana Perdana Menteri yang ada sekarang Datuk Seri Ismail Sabri juga.
“Tetapi kehadapan itu kita tidak pasti kalau dia yang dicalonkan ia hanya di pihak BN. Kita PN tidak ambil pendirian yang sama,” katanya.
Semalam, MKT Umno memutuskan MoU antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini, tidak akan diteruskan.
Mesyuarat MKT Umno yang dipengerusikan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut membuat ketetapan mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU-15. – Malaysiapost

