Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) diminta segera menjalankan siasatan secara terperinci dan menyeluruh mengenai isu kenaikan harga tambang penerbangan pada musim perayaan ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata berdasarkan pemantuan MAVCOM, harga tambang penerbangan pada 30 April 2022 meningkat berbanding purata harga tambang pada tahun 2019.
“Peningkatan ini disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutama kenaikan harga bahan api jet, serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.
“Syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik Covid-19.
“Pesawat-pesawat penerbangan perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih atau MRO (maintenance, repair, overhaul) sebelum pesawat diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ka Siong berkata, beliau telah mempengerusikan mesyuarat khas melibatkan pihak Kementerian Pengangkutan (MOT), MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta syarikat penerbangan domestik, semalam.
Katanya, mesyuarat itu bertujuan mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat berkenaan kenaikan harga tambang penerbangan.
“Penetapan tambang penerbangan domestik oleh syarikat penerbangan negara adalah berdasarkan rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada 2006.
“Dalam hal ini, Jemaah Menteri ketika itu memutuskan bahawa syarikat penerbangan negara yang menyediakan perkhidmatan udara domestik diberi kebebasan dalam menentukan liputan rangkaian (network coverage), kekerapan penerbangan dan kadar tambang yang ingin ditawar berdasarkan permintaan pasaran,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau berkata langkah itu selaras amalan sebahagian besar negara-negara lain yang tidak mengawal harga tambang penerbangan bagi laluan antarabangsa atau domestik.
Katanya, walaupun harga siling dapat menurunkan tambang penerbangan pada musim puncak, namun ia akan menyebabkan kenaikan harga tambang penerbangan ketika musim biasa.
“MAVCOM, CAAM serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bersedia untuk mempertimbang dan meluluskan permohonan syarikat-syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan, pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara serta melanjutkan waktu operasi lapangan terbang pada musim perayaan ini dan akan datang.
“CAAM telahpun meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan. Ini akan membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan,” katanya.

